Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, ketepikan semangat kepartian peribadi masing-masing apabila melibatkan urusan kerja sebaliknya sentiasa bersikap profesional sebagai seorang penjawat awam.

"Jangan sampai kita terlupa tanggungjawab hakiki dalam pembangunan bangsa, agama, negeri dan negara. Jangan terbawa-bawa semangat kepartian sehinggakan ada yang bermasam muka, berprasangka tidak elok sesama sendiri, meregangkan hubungan persahabatan atau perpaduan.

"Kita hendaklah tahu membezakan antara pendapat, pegangan dan juga apa yang diperintahkan di dalam agama serta usaha-usaha kita di dalam pembangunan umat Islam di negeri yang kita cintai ini," titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh MAIPs semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika menangguhkan Mesyuarat MAIPs Sidang Ke-3 bagi 2018 yang dipengerusikan baginda di Bilik Mesyuarat, Galeri Diraja Arau di sini semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, berharap agar kakitangan MAIPs terus berusaha dengan lebih gigih dalam membangunkan syiar Islam dan memperkasakan kedudukan MAIPs, nama serta imejnya dalam kalangan majlis-majlis agama di negara dan di rantau ini.

Pada kesempatan yang sama baginda turut menitahkan ucapan selamat menempuhi bulan Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi.

Baginda kemudian diiringi beberapa ahli majlis berkenan menziarahi bekas Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Datuk Abu Bakar Ahmad, 85, yang sedang uzur di kediaman beliau di Arau. - UTUSAN ONLINE