Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar.

“Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA (institusi pendidikan tinggi awam),” katanya.

Menjelas lanjut, kementerian itu berkata, calon-calon yang layak dan memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian serta kriteria pemilihan yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada pilihan program pengajian yang dipohon.

Katanya, proses pemilihan pelajar bergantung kepada pengiraan markah merit iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Menurut kementerian itu, markah akademik bagi kedua-dua lepasan STPM dan Matrikulasi adalah berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang diperoleh calon yang memohon.

“Kejayaan mendapat tempat di UA bergantung sepenuhnya kepada markah merit, tempat yang disediakan serta kelayakan calon dan bukannya bergantung kepada kategori calon tersebut,” katanya.

Selain itu, kementerian tersebut berkata, bilangan tempat yang boleh ditawarkan juga bergantung kepada prasarana dan kapasiti UA.

Katanya, dalam tempoh dua tahun sejak 2017, tawaran untuk lepasan STPM telah menunjukkan pertambahan sebanyak 4,242 (21.07 peratus), manakala lepasan Matrikulasi meningkat sebanyak 1,981 tawaran (10.83 peratus) pada sesi 2018/2019. - BERNAMA