Rata-rata peniaga di kawasan berkenaan merintih kerana merasai tempiasnya sejak Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan.

Perkara itu berikutan pekan Bagan Datuk yang sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sewaktu Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri, kini sudah seolah-olah lengang.

Seorang peniaga, Ayob Hassan, 57, berkata, sebelum ini terdapat kira-kira 50 peniaga dari dalam dan luar daerah ini datang untuk berniaga di sekitar Waterfront Bagan Datuk, namun kini hanya tinggal tujuh ke lapan ge­rai yang masih beroperasi.

“Sejak BN kalah, kesannya pada kami yang berniaga. Kalau dahulu, kami sudah mulakan perniagaan seawal pukul 11 pagi tetapi sekarang saya buka sebelah petang iaitu dari pukul 5 petang hingga 9 malam, bergantung kepada keadaan.

“Kalau tidak ada orang, saya tutup awal. Namun, musim cuti sekolah lalu, ramai juga pengunjung datang ke sini kerana hendak tengok kapal sejarah Bagan Datuk, jadi dapat jugalah rezeki lebih sikit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Siti Hajar Moktar, 52, turut meluahkan perasaan sama dan berharap kemudahan dan keceriaan yang telah dibangunkan di Waterfront Bagan Datuk tidak dibiarkan begitu sahaja.

“Saya dulu berniaga sebelah pagi tetapi sekarang bertukar memulakan perniagaan pada pukul 5 petang sebab tiada orang. Dapat pun tidak ba­nyak dalam RM30 ke RM50 hingga pukul 11 malam, itu pun belum masuk modal barang.

“Hendak lepas beli ikan, sayur dan barang dapur pun tidak cukup. Cuma kata orang, jangan mati tak makan kerana ini saja yang mampu saya buat, kerja lain saya tidak boleh buat,” katanya.

Sehubungan itu, Siti Hajar meminta kerajaan negeri melakukan sesuatu termasuklah menjenamakan semula daerah kecil itu untuk menarik kembali pelancong supaya tidak terus ketinggalan sehingga menjejaskan golongan peniaga sepertinya.