Akibatnya, puluhan peniaga di lot-lot kedai bangunan milik kerajaan negeri itu berdepan pendapatan tidak menentu kerana kekurangan pelanggan.
 Seorang peniaga, D. Kalimuthu, 50-an berkata, dia yang berniaga barangan cendera­mata dan produk istimewa dari Filipina pernah hanya meraih hasil jualan kurang RM50 sehari.

D. KALIMUTHU
D. KALIMUTHU 

Keadaan itu, katanya, berbeza ketika mula berniaga di situ kira-kira 10 tahun lalu yang mana hasil jualan mencecah kira-kira RM500 sehari.

“Sebagai contoh hari ini, walaupun sudah berniaga dari pagi hingga pukul 2 petang, tetapi hasil jualan saya baru RM12. 

“Bagaimana saya mahu membayar sewa kedai RM1,000 sebulan jika keadaan berterusan seperti ini? Sekarang berniaga sudah sering rugi, tidak ada untung lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pemilik butik muslimah dikenali sebagai Aina, 40-an mengakui perniagaannya juga ti­dak memberangsangkan dise­bab­kan suasana Kom­tar yang suram.

Katanya, perniagaannya mungkin tidak terlalu terjejas kerana baru dua tahun berniaga di situ tetapi dengan sewa agak mahal iaitu RM3,000 sebulan, dia tidak pasti berapa lama lagi mampu bertahan.

“Kedai pun saya terpaksa tutup lebih awal iaitu sebelum pukul 7 malam kerana bimbang dengan keselamatan sebab kawasan ini sunyi selepas waktu pejabat,” katanya.

Turut merasai keperitan berniaga di Komtar itu ialah seorang pemilik kedai pakaian hanya mahu dikenali sebagai Amir, 50-an, yang sudah berniaga di situ kira-kira 20 tahun.

Katanya, perniagaannya hanya mampu bertahan disebabkan terdapat pelanggan tetap selain kedatangan warga asing yang mencari pakaian pada harga lebih murah.

“Dulu bersebelahan kedai saya ini macam-macam jenis perniagaan ada, tetapi sekarang hanya saya yang tinggal selepas semuanya gulung tikar kerana tiada pelanggan,” katanya.