Pengarah syarikat itu, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan sebarang jenis cukai yang akan dikenakan kerana yakin rokok elektronik adalah pilihan yang lebih selamat menggantikan rokok tradisional sedia ada.

Melalui kaedah itu ujarnya, pihak kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan di samping pengusaha dan peniaga dapat melakukan urusan perniagaan dengan tenang.

“Kami memang mengalu-alukan dan berbesar hati sekiranya kerajaan mengenakan undang-undang dan cukai. Setakat ini, kami telah menjalankan ujian makmal, membayar cukai import dan cukai jualan bara­ngan hasil tembakau di semua negara.

“Contohnya di Indonesia, setiap kotak perisa Nanopods (bahan perisa) akan ditampal pelekat cukai sebagai sumber pendapatan negara. Malah, hanya perisa Nanopods yang mempunyai pita cukai sahaja dibenarkan dijual,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia dalam laporan khas mendedahkan Malaysia dikenal pasti sebagai pasaran utama industri jualan vape global yang keseluruhannya dianggar bernilai AS$11.5 bilion, kerana ketiadaan penguatkuasaan. pada segi pengimportan, penjualan dan penggunaan produk tersebut di negara ini. Kementerian Kesihatan pada bulan lalu, memaklumkan sedang merangka undang-undang baharu bagi memperkemaskan Akta Kawalan Tembakau termasuk membabitkan penggunaan bahan berkaitan nikotin dan kawalan penggunaan produk tembakau, termasuk rokok elektronik dan vape.

Mengulas mengenai rokok elektronik yang sepatutnya terikat dengan Akta Racun 1952 kerana mengandungi nikotin, Shahabudeen Jalil berkata, di pasaran tempatan juga sudah menjual bahan menghilangkan ketagihan merokok seperti nikotin patch.

“Apa yang saya faham, kita ada Akta Kawalan Tembakau dan Akta Racun. Dalam Akta Racun dibenarkan penjualan nikotin dalam bentuk patch dan gula-gula getah (bahan menghilangkan ketagihan rokok bagi perokok kronik).

“Kalau nikotin itu adalah teruk kenapa pihak kementerian menyediakan patch? Sedangkan kita tahu bahan seperti penampal itu akan meresap nikotin dalam kulit supaya perokok tidak berasa lagi ketagih untuk merokok. Sama juga seperti alat ini, kita hanya menghisap rokok elektronik dan mendapat nikotin dengan cara yang lebih selamat,” jelasnya.