Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kebanyakan kes kebakaran yang berlaku di pondok pengajian agama adalah disebabkan faktor keselamatan yang rendah terutamanya yang membabitkan pendawaian elektrik sehingga berlaku litar pintas.

Beliau berkata, kerajaan me­mandang serius terhadap mu­sibah kebakaran pondok yang kerap berlaku di negara ini de­ngan kebanyakannya berpunca daripada pendawaian eletrik tidak mengikut peraturan.

“Khidmat nasihat dan kepakaran anggota serta pegawai JBPM amat penting bagi mengelakkan kes kebakaran terus berlaku sehingga menyebabkan pelajar pondok sentiasa berada dalam risiko bahaya.

“Keselesaan pelajar perlu diberi keutamaan dengan mengambil berat aspek keselamatan khususnya musibah di luar dugaan,” katanya kepada pemberita se­lepas merasmikan Sambutan Hari Bomba Sedunia 2017 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bomba ne­geri, Nazli Mahmood; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman dan ADUN Seli­sing, Zulkifle Ali.

Asyraf Wajdi berkata, pada Jumaat ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan bantuan khas kepada pe­ngurusan pondok dari seluruh negara di kediaman rasminya.

“Bantuan itu pastinya membantu pihak pengurusan pondok mengambil tindakan drastik me­lakukan penambahbaikan prasarana pusat pengajian agama termasuk menukar dawai elektrik yang melebihi usia dan me­laksanakan sistem pendawaian elektrik yang menepati piawaian ke­selamatan.

“Majlis penyampaian sumbangan itu juga adalah medan pertemuan yang amat bermakna di antara pucuk pimpinan negara dengan ilmuan agama dan pengurusan pondok yang pastinya memboleh­kan segala permasalahan yang mungkin timbul dapat diteliti dan diperincikan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa berusaha memperkasakan institusi pengajian agama khususnya institusi pondok dan pusat pengajian tahfiz bagi memastikan ia membangun seiring dengan perkembang­an pendidikan arus perdana dan tidak dibiarkan terpinggir.