Menterinya, Datuk Seri Madius Tangau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, kementerian te­rus mempromosikan STEM meman­dangkan kepentingannya pada ma­sa hadapan.

Katanya, langkah itu penting kerana penguasaan dalam bidang sains dan teknologi amat perlu untuk mengukuhkan ekonomi negara.

“Antara langkah diambil adalah meningkatkan penguasaan pelajar dalam bidang sains dan teknologi,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) Ops Jelajah Cyber 2.0 Edisi Sarawak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Ja­batan Perdana Menteri, Nancy Shuk­ri; Ahli Parlimen Kota Sama­rahan, Rubiah Wang dan Rektor UiTM Sara­wak, Datuk Dr. Jamil Hamali.

Menurut Madius, peratusan pelajar sekolah yang cenderung kepada STEM menurun kepada 20 peratus pada 2014 berbanding 44 peratus pada 2011.

Tambahnya, peratusan itu masih rendah dibandingkan dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) untuk mencapai 60 peratus pelajar terlibat dengan STEM menjelang 2020.

“Apa yang kita lihat pelajar masih cenderung kepada bidang lain berbanding sains dan teknologi.

“Kementerian melalui Majlis Sains Negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sedang merumuskan satu strategi baharu untuk meningkatkan peratusan pelajar yang mengambil subjek sa­ins,” katanya.

Mengenai Program Pembangunan Keusahawanan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) yang diba­ngunkan di Batang Sadong, beliau memberitahu, program itu bakal berfungsi sebagai ‘touch point’ kepada masyarakat bagi mendapatkan perkhidmatan keselamatan siber seperti pemulihan data, sanitasi data dan forensik digital.

“Sebagai pusat pakar keselamatan siber negara, CyberSecurity Malaysia dipertanggungjawab dalam hal ehwal pembangunan bidang sains, teknologi dan inovasi di Malaysia.

“Inisiatif dijalankan dan kepakaran dimiliki oleh CyberSecurity Malaysia akan dapat membantu usaha kerajaan memperhebatkan lagi percambahan bidang sains, teknologi dan inovasi demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020,” ujarnya.