Alasan yang diberikan ialah perkembangan ini bukan sahaja berbahaya kepada PH itu sendiri tetapi bertentangan dengan kehendak rakyat yang telah mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Antara yang lantang menyuarakan rasa tidak puas hati ini ialah Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh.

Beliau menegaskan, pene­rimaan pemimpin-pemimpin berkenaan dalam PH ketika ini akan dilihat sebagai pengkhianatan kepada rakyat yang mahukan perubahan sebenar dan bukannya sekadar bersifat kosmetik.

Ramkarpal juga memberitahu, isu ini bukan berkaitan sama ada bekas pemimpin UMNO itu layak atau tidak menjadi sebahagian daripada PH tetapi bagaimana tindakan lompat parti tersebut akan memberi kesan terhadap komitmen pakatan mahu membawa pembaharuan serta perubahan kepada negara.

“Saya tertanya-tanya jika PH kalah dalam pilihan raya umum akan datang, adakah ahli Parlimen kita akan melakukan perkara sama dan secara mudah melompat ke pihak sebelah sana?

“Bekas ahli-ahli Parlimen UMNO ini merupakan sebahagian daripada sistem yang mana PH komited untuk mengubahnya. Jadi, untuk berbuat demikian, kita perlu membersihkan perkara yang tidak perlu terlebih dahulu. Dengan membenarkan mereka menyertai PH hanya akan bertentangan de­ngan usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Ramkarpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, alasan diberikan oleh bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang meninggalkan parti misalnya UMNO tidak mempunyai hala tuju dianggap sebagai tidak munasabah kerana sebelum ini parti tersebut merupakan satu-satunya hala tuju kepada mereka.

Justeru, katanya, semakin banyak tindakan sedemikian (lompat parti) dilayan, semakin banyak rasa kekecewaan rakyat terhadap PH.

“Perubahan bukan bermaksud dengan hanya mendakwa bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan bekas timbalannya (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) atas dakwaan kesalahan di pihak mereka tetapi apa yang lebih penting adalah memansuhkan dasar dan menghapuskan rasuah yang telah berleluasa di bawah pemerintahan UMNO selama beberapa dekad.

“PH tidak memerlukan bekas pemimpin-pemimpin UMNO ini. Parti memerlukan lebih ramai pemimpin yang berprinsip untuk meneruskan agenda pembaharuan,” tegas beliau.

Sementara itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan orang lagi ahli Parlimen UMNO akan mengisytiharkan meninggalkan parti itu, esok.

Tindakan tersebut berikutan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pucuk pimpinan parti.