Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengimport daging bumiputera tidak ramai ekoran kewujudan kartel yang sekali gus menyebabkan syarikat-syarikat bumiputera terpinggir.

“Dalam pertemuan dengan pembekal daging import India semalam, saya memberitahu rata-rata orang Melayu adalah pengguna tetapi penyertaan bumiputera dalam industri import daging terlalu sedikit iaitu hanya 10 peratus daripada jumlah import iaitu RM1.7 bilion setahun dan selebihnya dikuasai oleh pengimport bukan bumiputera.

“Justeru, mereka (pembekal daging) memberi jaminan untuk membantu dan memberi peluang kepada peniaga bumiputera kita untuk terlibat secara langsung dalam perniagaan ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan pengimport daging India di New Delhi sempena lawatan kerja ke negara itu semalam.

Dalam lawatan tersebut, Tajuddin juga bertemu Menteri Perdagangan dan Industri India, Suresh Prabhakar Phrabu bagi membincangkan peluang untuk meneroka perniagaan di kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, dalam pertemuan de­ngan pembekal tersebut, mereka di­ingatkan supaya tidak terlibat de­ngan pihak-pihak yang cuba menggagalkan usaha untuk ‘memberi jalan’ kepada peniaga bumiputera.

“Saya terpanggil untuk membetulkan keadaan ini kerana kita mahu pengimport bumiputera juga diberikan peluang sewajar­nya dalam industri ini,” tegasnya.

Sebelum ini, pengimport bumiputera berdepan masalah disebabkan beberapa faktor termasuk ‘permainan’ dalam perniagaan tersebut selain memerlukan modal berjuta-juta ringgit serta tiada hubungan yang kuat de­ngan negara sumber.