Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penggunaan gula alternatif seperti pemanis tiruan hanya akan meningkatkan kos pembuatan, justeru menimbulkan isu.


“Ini tidak bermakna minuman tersebut tidak mengandungi gula tetapi tidak rasa begitu manis berbanding dengan sebelumnya, jadi kita harap mereka boleh kurangkan kandungan gula.


“Walaupun (cukai soda) ini merupakan satu usaha daripada Kementerian Kewangan dan bukan Kementerian Kesihatan, kita menyokong dasar tersebut. Jadi, sebelum dasar ini dilaksanakan, kita juga sudah ada perbincangan dengan mereka (pengilang minuman),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kempen derma darah dan anti merokok peringkat Parlimen Batu Gajah yang diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Gajah di sini hari ini.


Terdahulu, Boon Chye berkata, melalui pengenalan cukai soda, ia diharap dapat mengubah tabiat minum minuman kurang bergula dalam kalangan rakyat  Malaysia yang kemudian dapat diperluas ke kedai mamak mahupun gerai tepi jalan.


Sehubungan itu, beliau berharap orang awam dapat memahami usaha yang ingin direncana kerajaan, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia merupakan antara penghidap penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti yang tertinggi di Asia Tenggara.


Mengenai kempen derma darah pula, Boon Chye berkata, pihaknya menyasarkan setiap 1,000 orang dapat menderma darah sebanyak 35 kali setahun, mengikut piawaian antarabangsa.


Beliau berkata, langkah itu dapat menyeimbangkan bekalan dan permintaan darah yang diperlukan bagi membantu pesakit kemalangan mahupun pendarahan semasa bersalin melibatkan kira-kira 2,000 peket sehari. - UTUSAN ONLINE