Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, peng­huni terpilih akan meng­ikuti program tersebut sama ada di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) atau Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang merupakan institut kemahiran di bawah kementerian itu.

Bagi projek perintis itu kata­nya, KBS akan memulakannya di IKTBN Chembong, Negeri Sembilan sebelum diperluaskan ke ins­titusi kemahiran belia yang lain.

“Ini bertujuan memastikan anak-anak yang pernah melakukan kesalahan diberi peluang mempelajari ilmu TVET dan seterus­nya mendapat peluang pekerjaan berkualiti tinggi se­perti orang lain.

“Ini juga selaras dengan projek Reben Kuning yang dilancarkan kementerian bagi memberi peluang kedua kepada bekas penghuni sekolah pemulihan akhlak dan bekas banduan untuk menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Lawatan Kerja ke Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Hatipah Ibrahim dan Pengarah Penjara Melaka, Datuk Abdul Aziz Muhamad. 

Jelas Syed Saddiq, beliau juga mahu lebih banyak agensi kerajaan atau syarikat dapat menerima bekas-bekas pelajar bermasalah ini bekerja kerana ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai kemahiran serta pendidikan tinggi. 

Sementara itu, tambah beliau, kementerian bersetuju untuk menyumbangkan ge­langgang tinju yang dihadiahkan oleh petinju terkenal dunia Manny Pacquiao kepada Sekolah Henry Gurney bagi mengembangkan sukan tersebut.