Laporan dibuat kira-kira pukul 10 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) oleh Ketuanya, Kamaruzaman Abdullah dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.

Kamaruzaman berkata, kenyataan Razali yang mempertikai dan mempersendakan hukuman tersebut seolah-olah merendahkan penghakiman serta martabat institusi kehakiman syariah Terengganu.

Katanya, tindakan itu sama sekali bertentangan dengan Seksyen 11 - mengingkari perintah mahkamah, Enakmen 7, Tahun 2001, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Bahagian III - Kesalahan yang berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesedaran sebagai seorang Islam, Dewan Pemuda Pas negeri terpanggil untuk memperbetulkan keadaan kerana kita terkilan dengan kenyataan Razali yang membelakangkan kedaulatan undang-undang.

“Bagi kita perbuatan beliau itu sangat serius dan jika dibiarkan akan mengundang malapetaka dari sudut prinsip undang-undang di Malaysia kerana sesiapa sahaja boleh menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan.

Razali dalam satu kenyataan baru-baru ini menyelar keputusan Mahkamah Syariah Terengganu pada Ahad lalu yang menjatuhkan hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan terhadap tertuduh yang masing-masing berusia 32 dan 22 tahun itu dengan menyifatkannya sebagai menghina, merendahkan dan percubaan untuk memalukan si pelaku serta keluarga mereka secara terbuka.

Menurut Razali, tindakan itu bertentangan dengan nilai martabat manusia dan tidak selari dengan komitmen menjaga maruah seseorang seperti yang dianjurkan dalam setiap agama di samping menegaskan yang hukuman sebat dalam keadaan apa pun melanggar larangan mutlak penyeksaan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina di bawah undang-undang antarabangsa.

Kamaruzaman memberitahu, apabila sesuatu keputusan telah dibuat mahkamah maka semua pihak termasuk pemerintah dan masyarakat perlu menerima penghakiman itu seadanya.

Katanya, setiap apa yang telah diputuskan mahkamah hakikatnya adalah kecil berbanding amaran Allah SWT bahawa lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan amalan songsang yang mengundang kemurkaan. - UTUSAN ONLINE

Sehubungan itu, Kamaruzaman berkata, laporan polis yang dibuat ke atas Razali itu adalah sebagai peringatan agar beliau lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keharmonian undang-undang khususnya yang membabitkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Yang keduanya, apabila isu ini sudah viral di seluruh negara maka selayaknya beliau memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, kalau tidak kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

-UTUSAN ONLINE