Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memberi pandangan awal untuk cadangan pengharaman itu kerana bahan Mitraginin yang terkandung dalam pokok ketum adalah tersenarai dalam Jadual Ketiga Bahan Psikotropik Akta Racun 1952.

Katanya, walaupun tidak dikategorikan sebagai dadah berbahaya setakat ini, laporan yang dibentangkan Kementerian Kesihatan serta agensi penguatkuasaan lain menunjukkan ketum mendatangkan kesan yang berbahaya kepada pengguna selain dibimbangi akan digunakan secara lebih sofistikated.

“Kalau Jawatankuasa Kabinet bersetuju dan Kabinet memutuskan itu, maka langkah-langkah dapat dibuat untuk menentukan ia dikawal dan hukuman tertentu boleh dikenakan kepada mereka terlibat, perkara itu akan dimasukkan sama ada dalam Akta Racun 1952 atau Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya selepas mempengerusikan

Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat yang dipengerusikannya hari ini mencadangkan pengharaman pokok ketum itu kerana pihaknya turut mendapati ada kes mengenai bahan berkenaan dieksport ke Thailand sedangkan negara itu telah pun mengharamkan ketum.

“Jangan Malaysia jadi pengeksport pula kerana kita bimbang berlaku kesan daripada penggunaan bahan ketum itu akan menjadi kesan yang buruk, jadi kita beri pandangan awal-awal lagi supaya jangan dibenarkan penanaman itu,” katanya.

Berhubung ketum digunakan dalam penyelidikan perubatan, Muhyiddin berkata, perkara tersebut diserahkan kepada Kementerian Kesihatan namun beliau mengingatkan kepentingan untuk tanaman berkenaan dikawal terlebih dahulu. - UTUSAN ONLINE