Tidak dapat dinafikan pasti ada golongan yang gusar dengan keputusan itu ter­utamanya ibu bapa yang bimbang tentang penularan gejala negatif melalui alat peranti berkenaan.

Namun, dalam hal ini, semua pihak terbuka kerana Men­teri Pendidikan, Datuk Se­ri Mahdzir Khalid sendiri telah berjanji mewujudkan kerangka peraturan serta pekeliling bagi menetapkan penggunaan serta jenis alat peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah.

Kementerian turut me­ne­gaskan bahawa hanya tablet dibenarkan dibawa ke sekolah, manakala telefon bimbit dila­rang kerana dilihat mampu me­ngganggu dan menjejaskan tumpuan di dalam kelas.

Hakikat sebenar yang perlu diterima semua pihak bahawa keputusan tersebut merupakan perancangan kerajaan bagi mempersiapkan generasi masa hadapan dengan kemahiran teknologi supaya boleh bersaing di peringkat antarabangsa, selaras dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sistem pembelajaran menggunakan peranti bukan perkara baharu kerana di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), lebih 70 peratus pelajarnya me­nggunakan kaedah pembelajaran tersebut yang diakui lebih menyeronokkan.

Kajian yang dijalankan oleh­ Jabatan Pembelajaran AS men­dapati, tablet membantu sese­orang pelajar memahami sesuatu subjek 30 hingga 80 peratus lebih cepat berbanding kaedah pembelajaran konvensional.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Perkhidmatan Penyiaran Awam (PBS) dalam kaji selidiknya turut merumuskan bahawa guru-guru di AS mengakui penggunaan peranti mampu meningkatkan motivasi untuk belajar sebanyak 77 peratus, sekali gus membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Selain itu, ketika rakyat me­ngeluh dengan peningkatan kos sara hidup termasuk kos pem­belajaran anak-anak, penggunaan E-Textbook mampu menjimatkan perbelanjaan kerana harganya lebih murah 50 hingga 60 peratus berbanding buku teks mengikut harga pasaran.

Walau bagaimanapun, diha­rapkan kerajaan menyediakan pe­ran­cangan rapi dan teliti se­belum memperluaskan penggu­naan peranti berkenaan ter­utamanya berkaitan kos­ tablet yang masih lagi mahal.

Ini bagi mengelakkan jurang pendidikan yang kini sema­kin mengecil menjadi membesar antara kawasan bandar dan luar bandar.