Rata-rata mereka berpendapat harga barangan sukar diturunkan setelah mengalami peningkatan meskipun selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan cukai bara­ngan dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Tinjauan Mingguan Malaysia di sebuah pasar raya di sini hari ini juga mendapati, harga bara­ngan pada Khamis lalu dan hari ini bukan sahaja tidak menunjukkan penurunan malah keba­nyakan rak juga kelihatan seperti sengaja dibiarkan kosong tanpa diisi semula.

Antara barangan yang masih dijual pada harga sama ialah susu pekat manis Cap Junjung 500 gram pada harga RM3.02, sardin Adabi 15g (RM3.49), sos tiram Nona 255g (RM2.90), lampin pakai buang Huggies Dry (RM33.80), sabun pencuci baju Breeze Liquid 1.8kg (RM12.90) dan susu bayi Dumex Dugro 1+3 tahun (RM25.90).

Seorang guru, Syuhada Abd. Rahim, 30, berkata, dia tidak yakin harga barang akan turun meskipun kerajaan telah memaklumkan yang pelaksanaan SST akan meningkatkan kuasa beli pengguna ekoran banyak barang mengalami penurunan harga.

Katanya, ini kerana harga barangan semasa GST yang dikatakan akan turun selepas GST pada kadar sifar dilaksanakan masih sama dan ia dijangka tidak berubah atau menurun walaupun SST pula dikuatkuasakan.

“Harga barang kalau sudah naik, sukar untuk turun. Jika ada jualan murah pun penurunannya sedikit malah tidak terasa langsung. Untuk SST hari ini, saya lihat harga masih sama dan mungkin perlu tunggu seminggu dua lagi untuk melihat perbezaan harga.

“Saya berharap harga barang akan turun selepas ini dan jika naik pun sebagai rakyat kita kena bersuara. Kerajaan perlu tunaikan janji mereka untuk membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Noraini Ashri, 39, berkata, dia datang ke pasar raya hari ini untuk melihat sendiri penurunan harga barang selepas SST bermula hari ini seperti yang diberitahu namun kesal apabila harga barang masih tidak berubah.

Katanya, sebagai pembeli, dia mengakui tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan pembelian walaupun harga barang dilihat masih mahal.

“Contohnya semasa GST, harga lampin pakai buang yang saya beli hanya RM24.90 namun selepas GST dimansuhkan harga­nya naik kepada RM27.90. Ini berbeza dengan apa yang dikatakan oleh kerajaan.

“Apabila SST pula akan dilaksanakan, saya cuma berharap harga barang kembali turun dan tidak menekan pembeli lagi. Bagaimanapun jika harga masih sama atau meningkat, kami tetap terpaksa beli kerana tiada pilihan lain,” katanya.