Perkara itu didedahkan menerusi kajian oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendapati papadum iaitu sejenis kerepek yang kerap dihidang di restoran nasi kandar mengandungi natrium atau garam berlebihan sehingga ke tahap memudaratkan kesihatan.

Menurut Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris, ujian makmal pihaknya terhadap 11 keping papadum mendapati setiap satunya mengandungi lebih 1,000 miligram (mg) garam dengan empat daripadanya mengandungi lebih 2,000 mg garam.

Katanya, pada kebiasaannya, orang ramai mengambil sehingga empat ke lima keping papadum dalam setiap hidangan iaitu melebihi paras 2,000 mg garam seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pengambilan seharian.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan menetapkan kadar selamat penggunaan garam dalam penghasilan papadum manakala Jabatan Kastam pula perlu memeriksa semua papadum yang diimport bagi menentukan paras garam di dalamnya supaya tidak memudaratkan orang ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE