Rektor Aswara, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd. Rizon Juhari berkata, pihaknya melihat bahawa penulisan kreatif dan penulisan skrin perlu berada di bawah satu bumbung dengan elemen filem serta televisyen kerana mereka saling melengkapi.

Ujarnya, perkara itu juga dilaksanakan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meletakkan filem, teater dan animasi di bawah satu fakulti.

“Kita percaya ini akan melahirkan graduan yang pelbagai disiplin untuk masuk ke pasaran pekerjaan. Kita tidak pernah memperlekehkan kegiatan seni khususnya penulisan.

“Walaupun digabungkan pengurusan dan pentadbiran, tetapi peruntukkan tahunan bagi pelaksanaan program akademik dan program peluasan tetap disalurkan seolah-olah mereka sebagai dua fakulti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Persatuan Alumni Aswara hari ini melancarkan petisyen dalam talian bagi mendesak Mohd. Rizon ditamatkan perkhidmatan.

Petisyen dimulakan Nur Lina Mastura Tajaludin itu mendakwa beberapa sikap negatif sering dipamerkan rektor terbabit selain gagal menunjukkan ciri-ciri pemimpin boleh dicontohi. – UTUSAN ONLINE