Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu antara perkara yang diambil oleh pihaknya bagi menyiasat skandal melibatkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai hubungan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Langkah-langkah lain yang sudah diambil oleh pegawai-pegawai Kementerian Kewangan ialah membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan suruhanjaya tersebut juga telah pun menyerbu pejabat SSER.

“Selain itu, Kementerian Kewangan juga telah mengambil alih pentadbiran pejabat SSER dan semua pekerja SSER telah diberi cuti bergaji ‘garden leave’ sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Guan Eng mendedahkan satu lagi skandal didakwa berhubung kait dengan 1MDB serta Low Taek Jho atau Jho Low melibatkan syarikat SSER dengan nilai sebanyak RM9.4 bilion.

SSER merupakan anak syarikat Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 19 Mei 2016 untuk tujuan menjalankan dua projek berasingan iaitu Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang mana kedua-dua projek telah diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan juga sedang melantik satu jawatankuasa eksekutif (EXCO) yang akan diketuai oleh sebuah firma perakaunan.

Jelasnya, jawatankuasa tersebut akan mengambil alih operasi syarikat serta menyiasat semua transaksi dan urusan yang dilakukan oleh SSER. - UTUSAN ONLINE