Fa berkata, laporan polis itu dibuat semalam bertujuan untuk menjaga keselamatan dirinya, ahli produksi, kakitangan Penangpac dan penonton teater berkenaan.

"Laporan ini juga dibuat bagi memastikan tiada kekacauan berlaku berikutan ugutan serta protes yang dianjurkan oleh pihak yang tertentu.

"Banyak pihak yang menyerang pementasan teater saya dengan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa terutamanya yang mengemukakan tuduhan bahawa saya bakal menayangkan filem lucah yang boleh mendorong masyarakat ke arah maksiat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, pengguna di dalam media sosial dikejutkan dengan poster sebuah teater yang bertajuk 'Sex In Georgetown City' yang akan dipentaskan di Pentas 2 Penangpac, Straits Quay di Tanjung Tokong di sini.

Selepas mendapat kecaman dan bantahan daripada pelbagai pihak Fa tampil memohon maaf dan menukar tajuk teater tersebut.

Menurut Fa produksi itu bukanlah penayangan filem sebaliknya adalah satu pementasan teater.

"Intipati cerita teater tersebut adalah untuk mendidik masyarakat mengenai gejala yang berleluasa di segenap lapisan masyarakat menerusi bentuk hiburan," katanya. - UTUSAN ONLINE