Beliau hari ini menunjukkan bukti memiliki PhD dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang Kejuruteraan Sistem Elekrik dan menamatkan pengajian pada 8 September 2015.

Mohammad Ezanni turut menunjukkan surat daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor UniMAP yang mengesahkan beliau memiliki PhD daripada universiti terbabit.

“Selain bukti menunjukkan saya memiliki ijazah kedoktoran yang sah, semakan pangkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia turut menunjukkan nama saya tersenarai pemegang akademik PhD dalam bidang tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selepas isu kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang baru-baru ini, tular di media sosial mendakwa Mohammad Ezanni memiliki PhD palsu selain bidang pengajian beliau tiada kaitan dengan alam sekitar seperti jawatan yang disandang.

Mohammad Ezanni menegaskan, beliau merupakan penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan jabatan itu telah menempatkannya sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar sejak 2004.

“Susulan berita palsu itu saya membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi di sini pada 15 Mac lalu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah tersebut yang jelas menjejaskan maruah dan reputasi saya sebagai penjawat awam,” katanya. - UTUSAN ONLINE