Beliau berkata, ini kerana tulisan Jawi merupakan tulisan orang Melayu yang telah digunakan dalam pelbagai urusan termasuk urusan rasmi pada masa dahulu dan kewujudannya perlu dipertahankan.

Katanya, perkembangan itu sama dengan bangsa lain di dunia seperti bangsa India dan China yang turut mempunyai tulisan mereka sendiri.

"Tulisan Jawi adalah tulisan warisan bangsa Melayu. Kalau orang Melayu boleh belajar tulisan Cina, patutnya sebagai orang Malaysia (bukan Melayu) boleh sahaja belajar budaya bangsa lain.

"Ada sahaja orang Cina pandai Jawi. Kita kena lihat daripada perspektif yang positif, jangan kaitkan dengan agama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Nordin berpendapat, penentangan pihak tertentu terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular  disebabkan kerana keliru dan  persepsi yang tidak betul mengenai keputusan kerajaan berhubung perkara itu.

Katanya, kedudukan tulisan Jawi sebagai warisan orang Melayu turut diterjemahkan dengan penggunaannya pada mata wang kertas negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan logo halal dalam tulisan Jawi oleh peniaga bukan Islam tidak salah selagi mereka mempunyai sijil pengesahan halal terhadap produk yang dikeluarkan.

Sebaliknya jelas beliau, tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 boleh diambil ke atas peniaga yang menggunakan logo halal itu secara tidak sah bagi mengelirukan pengguna.

"Syarikat yang ada sijil halal tak timbul isu (menggunakan logo halal dalam tulisan Jawi), tetapi yang tidak ada dan gunakan bagi tujuan mengelirukan, boleh dikenakan tindakan," katanya.

Sebelum ini terdapat gesaan daripada pelbagai pihak supaya peniaga bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan logo halal dalam tulisan Jawi berikutan bantahan pengajaran tulisan itu di sekolah vernakular. - UTUSAN ONLINE