Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebelum memasuki alam prasekolah, kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun terlebih dahulu menerima pendidikan awal secara tidak formal di pusat-pusat asuhan milik kerajaan atau swasta.

Katanya, kumpulan kanak-kanak di peringkat umur itu juga berhak menerima pendidikan awal berkualiti daripada tenaga pengajar yang berkemahiran.

“Kita lihat ada keperluan untuk menetapkan piawaian dari segi profesionalisme tenaga pengajar di pusat asuhan. Di negara-negara maju, mereka mementingkan aspek asuhan kanak-kanak dan pendidikan awal.

“Perkara ini masih dalam kajian. Jika kita mulakan perkara ini tahun depan, bermakna menjelang 2020 kita sudah ada tenaga pengajar pusat asuhan yang memiliki diploma berkaitan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Mahdzir memberitahu, walaupun belum diwajibkan, pusat asuhan milik kerajaan kini sudah mula mengambil tenaga pengajar yang berkelulusan diploma.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak pengurusan pusat asuhan swasta turut mengambil pendekatan serupa bagi mening­katkan kualiti perkhidmatan masing-masing.