Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, sekiranya dirujuk, pihaknya juga bersedia memberikan pandangan dan nasihat kepada pihak berkaitan berhubung perkara tersebut.

“Jika dirujuk, Jakim sedia memberikan khidmat nasihat termasuk untuk memeriksa skrip, kami ada garis panduannya.

“ Tapi itu bukanlah fungsi besar Jakim namun kami memberikan pandangan, komen atau apa yang perlu dielakkan oleh pihak tersebut jika diminta dan dirujuk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen ‘Jom Cinta Nabi’ anjuran Berita Harian di Balai Berita NSTP, Bangsar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP), Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Tular di media sosial dan mendapat kritikan netizen ketika ini sebuah drama bertajuk Isteri Untuk Disewa disiarkan di sebuah saluran televisyen berbayar yang dilihat merendahkan martabat wanita dan isteri serta tersasar dari nilai-nilai Islam. - UTUSAN ONLINE