Pesawat aerobatik jenis KAI KT-1 Woong Bi milik Indonesia itu bergesel dengan sebuah lagi pesawat sebelum terhempas di kampung berkenaan kira-kira pukul 2 petang.

Menurut Zulkifli, ketika kejadian dia sedang menukar tayar basikal bersama anaknya, Mohd. Syafiq Zulkifli, 13, di luar rumah.

“Tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat, rumah bergegar dan disusuli percikan api dari dalam rumah.

“Tanpa membuang masa kami terus melarikan diri dari rumah sejauh mungkin untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Zulkifli yang panik dengan kejadian tersebut berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana semua ahli keluarga berada dalam keadaan selamat walaupun rumahnya musnah terbakar.

Bapa kepada enam anak itu berkata, ketika pesawat itu terhempas tiada ahli keluarga yang berada di rumah.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan sangat bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban dalam kejadian tidak diduga ini,” katanya.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan rumah adiknya di bahagian dapur mengalami kerosakan.

“Selain itu, ayah saya yang tinggal tidak jauh dari sini terkejut dengan kejadian tersebut dan dikejarkan ke hospital apabila mengetahui ada pesawat terhempas di rumah.

“Dia yang dalam perjalanan untuk melihat kejadian tersebut pengsan secara tiba-tiba,” kata pekerja hotel itu.

Sementara itu, anak saudara Zulkifli, Intan Syazwani Mohd. Rashidi, 19, ketika kejadian dia sedang tidur di dalam rumah.

“Saya terdengar letupan yang amat kuat dan rumah saya seolah-olah bergegar dengan kuat ketika itu.

“Tanpa membuang masa, saya terus lari keluar bersama adik, untuk menyelamat diri, itu sahaja yang kami tahu,” katanya.

Dia bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan tersebut, ibu dan ayah tiada di rumah kerana keluar bekerja.