Masalah bekalan air di gugusan Felda berkenaan menyukarkan penduduk untuk menjalankan urusan seharian termasuk kenduri perkahwinan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Chini Timur 1, Yusof Ab. Rahman, 59, berkata, masalah bekalan air di tanah rancangan itu bukan baharu tetapi berlarutan sejak sekian lama.

"Termasuk hari ini, sudah dua hari tiada air di Felda Chini Timur. Bekalan air di sini memang tidak menentu. Kalau ada air pun pada pukul 4 pagi dan airnya pula keruh tidak sesuai untuk diminum atau untuk memasak.

"Kami berharap projek pembinaan LRA Chini berkenaan dapat dilaksanakan segera bagi menyelesaikan masalah ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yusof berkata, bagi memperoleh bekalan air, penduduk di situ terpaksa membeli air sungai yang dijual RM35 kira-kira 200 liter.

"Air ini (sungai) kami guna untuk mandi manakala air yang dihantar oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), kami simpan untuk dijadikan air minuman dan memasak," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Felda Chini 1, Shalihin Mohammad, 33, turut sependapat dengan Yusof dan mahu pembinaan LRA itu disegerakan.

"Buat masa ini, permintaan kami adalah segerakan pembinaan loji LRA berjumlah RM12 juta yang diluluskan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, bagi membantu penduduk memperoleh air jika ketiadaan bekalan itu, pihaknua menyediakan dua tong besar yang boleh mengisi 1,400 liter air dalam satu masa sebagai sumber air alternatif.

"Dua tong besar ini diwujudkan sejak April lalu membabitkan kos kira-kira RM7,000 sumbangan penduduk Felda Chini 1. Airnya adalah sumber air mentah bawah tanah," katanya.

Pada Mac lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata,

krisis bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di Felda Chini boleh diselesaikan jika kerajaan Pusat menyegerakan kelulusan peruntukan RM12 juta yang diumumkan kerajaan sebelum PRU-14.

Beliau yang sebelum itu meninjau sendiri LRA Chini berkata, kerajaan negeri memerlukan peruntukan berjumlah RM140 juta bagi membina muka sauk baharu dari Kampung Air Hitam ke LRA Chini.

Katanya, peruntukan itu diperlukan bagi pembinaan LRA baharu bagi menampung keperluan penggunaan yang sebelum ini disalurkan dari LRA Chini dan LRA Kuala Lepar.

“Kos ini adalah termasuk pemasangan paip sepanjang 25 kilometer bagi mengambil air mentah dari Sungai Pahang untuk diproses ke LRA Chini sebelum diagihkan kepada pengguna.

“Jika semua peruntukan yang sudah diumumkan dan diluluskan sebelum ini dapat diteruskan oleh kerajaan Pusat, krisis bekalan air bersih ini boleh diselesaikan,” katanya.

- UTUSAN ONLINE