Seorang penduduk di kawasan terjejas Norsehha Kasdan, 59, mahukan jaminan daripada kerajaan bahawa kawasan itu selamat untuk didia­mi.

“Saya percaya pihak berkuasa mampu menangani bencana yang berlaku ketika ini, namun apa yang membimbangkan adalah sekiranya berulang pada masa depan.

“Apakah jaminan kepada penduduk bahawa bencana seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Masai di sini hari ini.

Ibu dua anak itu juga berharap kerajaan dapat memastikan setiap kilang yang beroperasi dalam kawasan itu mematuhi undang-undang khususnya membabitkan ke­selamatan dan kesihatan penduduk sekitar.

Kejadian pencemaran toksik itu telah menjejaskan lebih 4,000 penduduk sehingga memaksa kerajaan menutup 111 buah sekolah di kawasan berhampiran.

Selain itu terdapat penduduk berdekatan kawasan tercemar mengambil keputusan mening­galkan rumah masing-masing untuk sementara.

Muhammad Badrull Hisyam Adam, 29, turut berharap kerajaan dapat memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Kebanyakan penduduk yang terlibat dalam kejadian ini telah membeli rumah dan menetap bersama-sama keluarga masing-masing di kawasan ini.

“Bukan mudah untuk kami meninggalkan kawasan ini setelah menetap di sini, jadi kami harap kerajaan dapat memastikan perkara ini tidak berlaku lagi pada masa depan,” ujarnya.