Perhimpunan yang bermula secara aman kira-kira pukul 10 pagi bagi merayu kerajaan nege­ri memberi peluang kepada mereka untuk tinggal di rumah tersebut menjadi 'panas' selepas kehadiran pegawai kerajaan negeri berkaitan kira-kira pukul 10.30 pagi di PPR berkenaan.

Penyewa termasuk ahli ke­lu­arga yang berada di kawasan tem­pat letak kereta perumahan itu untuk berhimpun kemudi­an bertindak berdiri di hadapan rumah masing-masing bagi meng­halang pegawai terbabit me­ngunci rumah mereka.

Difahamkan, lapan penyewa telah mendapat notis untuk mengosongkan rumah tersebut bermula hari ini namun masih enggan berpindah menyebabkan rumah mereka dikunci.

Empat penyewa pula dikatakan telah menyerahkan kunci secara sukarela manakala selebihnya masih berunding dengan kerajaan negeri.

Kesemua mereka diarah me­ngo­songkan kediaman masing-masing berikutan hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemam­pu­an, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Seorang penyewa, Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata, dia mempunyai lapan orang anak berusia antara empat dan 24 tahun dengan empat daripadanya masih bersekolah.

“Saya sedar suami merupakan warga asing, tetapi kami te­lah tinggal di sini sejak 14 tahun yang lalu dan pada ketika itu tidak ada masalah untuk kami menyewa di sini.

“Saya tidak bekerja dan suami hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan harian, kami tak mampu cari rumah sewa lain,” katanya.