Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, menerusi kemahiran keusahawanan mereka boleh berdikari dan tidak ketinggalan dalam urusan kehidupan seterusnya.

"Menanam dalam minda remaja kurang upaya untuk menjadi usahawan adalah penting tetapi apa yang lebih penting memberi panduan dan membantu mereka selok belok perniagaan.

"Ini supaya mereka tidak dimanipulasi disebabkan kekurangan yang ada pada mereka. Pendidikan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dan keusahawan diyakini dapat membentuk masa depan lebih baik bagi remaja orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Artbeat Festival 2018 dan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) di Angsana Mall Johor Bahru di sini hari ini.

Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang yang menganjurkan festival itu mendapat pengiktirafan hari ini sebagai penyertaan paling ramai dengan 502 pelajar berkeperluan khas dari sembilan sekolah menggunakan teknik cetakan saring atau open masking technique.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd Aziz; Ketua Pegawai Operasi MBR, Christopher Wong Hong Hai dan Pengarah PIS Pasir Gudang, Rashidah Mustapa. - UTUSAN ONLINE