Noor Amin Ahmad

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad malah mengakui bahawa sistem GST adalah lebih cekap daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Mengenai pemberian pendidikan percuma, beliau memberitahu, jika dilihat, kutipan GST pada tahun lalu sebanyak RM42 bilion dan daripada jumlah tersebut hanya perlu digunakan 0.5 peratus atau RM3.5 bilion untuk melaksanakannya.

Katanya yang juga Ketua Cabang PKR Kangar, para pelajar juga tidak perlu memikirkan untuk membayar hutang PTPTN kerana apabila membeli barang selepas bekerja, mereka juga perlu membayar GST dan justeru adalah seperti mana membayar balik pinjaman.

"Saya pernah tulis dan membahaskan di Parlimen sebelum ini dan berpendapat jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan GST, kita boleh melaksanakan pendidikan percuma ini.

"GST kutipan dia ketika tahun lalu ialah RM42 bilion, madsudnya satu peratus sama dengan RM7 bilion. Kita hanya memerlukan 0.5 peratus sahaja kutipan GST untuk memberikan pendidikan percuma.

"Dengan itu, PTPTN juga boleh ditutup. Jika tidak tutup sekali pun kita boleh gunakan satu peratus daripada kutipan GST ini untuk pendidikan. Sejumlah RM3.5 bilion bayar hutang dan RM3.5 bilion lagi kita masukkan dalam tabung pendidikan negara," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah beliau, apabila 10 tahun, kerajaan sudah mempunyai sebanyak RM35 bilion di dalam tabung pendidikan negara.

"Kita juga boleh labur dan menjana pendapatan melaluinya yang digunakan untuk pendidikan. Tidak perlu lagi fikir tentang dana untuk pendidikan selepas itu," katanya.

Tambah beliau, meskipun GST turut memberi kesan kepada golongan miskin tetapi kerajaan boleh mencari kaedah untuk tidak membebankan golongan itu.- UTUSAN ONLINE