SEREMBAN 14 Jan. - Para peniaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seremban di Ampangan di sini merayu kerajaan mengembalikan semula waktu operasi pusat itu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam seperti sebelum ini.
Kira-kira 40 peniaga mengeluh pendapatan mereka terjejas teruk selepas waktu operasi pusat itu dipendekkan dari pukul 8 pagi hingga 7 petang sejak 1 Januari lalu.

Seorang peniaga kafe, Amzari Mehat, 39, berkata, UTC itu kurang meriah selepas orang ramai tidak lagi boleh berurusan di kaunter agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen pada waktu malam.
“Pendapatan saya berkurangan sehingga 30 peratus gara-gara UTC ditutup awal. Kalau dulu ramai yang datang berurusan selepas waktu pejabat dan malam tetapi sekarang sudah tidak boleh lagi.
“Selalunya mereka akan bersiar-siar, makan dan membeli-belah di kedai yang terdapat di sini sambil menunggu urusan selesai. UTC ini telah banyak membawa pelanggan dan rezeki kepada peniaga,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kerajaan baru-baru ini mengambil keputusan memendekkan waktu operasi 21 buah UTC di seluruh negara kerana kehadiran pengunjung hanya 11 peratus selepas pukul 7 malam, selain mengambil kira faktor perbelanjaan dan kos ditanggung kerajaan.
Bagaimanapun, kelmarin kerajaan mengubah waktu operasi tujuh UTC termasuk di Seremban iaitu pukul 1 petang hingga 10 malam pada hari bekerja dan pukul 8 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad mulai 21 Januari ini.
Sementara itu, seorang peniaga mesin penapis air, Fairuz Hassan, 35, berkata, dia kecewa kerana sejak waktu operasi UTC diubah dua minggu lalu, jumlah pelanggannya jauh berkurangan.
“Dulu saya boleh jual 12 atau 16 buah mesin sebulan tetapi sekarang hendak jual dua buah pun susah, kadangkala tak dapat langsung. Dulu pukul 10 malam masih ada pelanggan datang, tapi hari ini lebih baik balik rumah daripada menunggu di sini.
“Waktu operasi sebelum ini sudah cukup baik untuk peniaga dan orang ramai, kenapa perlu ditukar. Janganlah disebabkan perbezaan parti dan ideologi politik perkara baik ini diubah. Akhirnya peniaga susah sebab kami perlu berniaga dan bayar sewa tapak dan kedai setiap bulan,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga pakaian, Norbena Rusad, 80, mengadu perniagaan yang dibuka sejak enam tahun lalu merosot ekoran perubahan waktu operasi UTC.
“Jumlah pelanggan tidak menentu kalau ada rezeki ada pelangganlah yang singgah di kedai. Kalau tidak termenung saja menunggu orang datang beli,” ujarnya.