Ketika kejadian pukul 9.30 malam, mangsa, Rahimah Saadun, 31, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur dikatakan bersama rakannya dalam perjalanan untuk ke dari gunung tersebut. 


Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, sejurus menerima laporan, lima anggota polis, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bergegas ke lokasi.


“Pasukan penyelamat bergerak ke Lojing kira-kira pukul 9.55 malam dan sebaik tiba terus mendaki gunung berkenaan dengan dibantu rakan mangsa. Mangsa yang lemah ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibawa turun ke bawah.


“Kira-kira pukul 7 pagi mangsa yang mendapat rawatan awal di Klinik Lojing sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM),” katanya di sini hari ini.


Tambah Mohd. Taufik, dia menasihatkan kumpulan pendaki melaporkan aktiviti mereka terlebih dahulu di mana-mana balai polis berhampiran.


Katanya, perkara itu memudahkan pihaknya membuat pemantauan dan bertindak segera jika berlaku kejadian tidak diingini terutamanya ketika cuaca hujan ketika ini.


“Kebanyakan rombongan yang membuat pendakian itu tidak melaporkan di balai polis, sedangkan di Lojing ada pondok Polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE