AHMAD ZAHID HAMIDI

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan yang sama akan dikenakan juga terhadap NGO yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, ROS sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap semua NGO yang berdaftar di negara ini bagi memastikan semua pertubuhan bergerak selaras dengan objektif penubuhan serta perlembagaan masing-masing.

“Sekiranya terdapat aduan terhadap mana-mana NGO, ROS akan mengambil tindakan seterusnya pertubuhan berkenaan boleh di­kenakan perintah pembatalan di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan Malaysia atau Akta 335.

“ROS akan meneliti aktiviti NGO berkenaan sekiranya melebihi, me­langkaui, terkeluar daripada perlembagaan pertubuhan berkenaan, melanggar undang-undang sedia ada dalam negara ini atau cuba mengambil alih kuasa mana-mana agensi pe­nguatkuasaan.

“Sehingga 15 Di­sember lalu, terdapat 262 buah persatuan pengguna didaftarkan di bawah ROS dan da­ripada jumlah tersebut, hanya 158 aktif manakala 104 persatuan pengguna dibatalkan atas sebab-sebab tertentu,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Khairul Azwan Harun mengenai langkah lebih berkesan oleh agensi perundangan agar NGO tidak menjangkau batas-batas perundangan yang dibenarkan di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memberitahu, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Pe­nyelarasan NGO di negara ini dalam tempoh terdekat.

Katanya, fokus utama mesyuarat itu adalah menyelaraskan ke­semua NGO yang berdaftar melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.