“Walaupun reda dengan pemergian suami namun kami sedikit terkilan kerana gagal memenuhi hasrat arwah yang ingin mendapatkan kembali kereta hadiah itu yang dipercayai berada di Pendang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ismail meninggal dunia di rumahnya di Taman Nuri, di sini pada ‪pukul 3.10‬ petang semalam.

Allahyarham yang merupakan bekas seorang anggota tentera berpangkat Staff Sarjan meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung hingga membataskan pergerakannya sejak Ogos tahun lepas.

Akibat penyakit yang dihidapinya itu menyebabkan dia sering berulang alik mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) beberapa kali.

Ismail yang lebih dikenali sebagai ‘Staff Sarjan Proton’ dalam perkhidmatan tentera selama 18 tahun berkhidmat menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan tiga anak mereka yang berumur antara 46 hingga 37 tahun.

Anak keempat pasangan itu, Siti Sarishmahani meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Ismail merupakan pemenang dalam peraduan menamakan kereta nasional itu pada 1985 semasa berkhidmat sebagai anggota tentera di Markas Dua Divisyen di Pulau Pinang.

Kemenangannya dengan mengalahkan ribuan peserta lain membolehkan dia menerima hadiah sebuah kereta Proton Saga. - UTUSAN ONLINE