MOHD. KHALIL KADER MOHD.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, semua mereka termasuk rakan kongsi rakyat Singapura yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu diminta tampil membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah meminta bantuan Polis Singapura untuk mengesan rakan kongsi syarikat terbabit.

Tambahnya, sebelum ini, polis sudah menahan 11 suspek bagi membantu siasatan kes pencemaran toksik Sungai Kim Kim, salah seorang daripadanya sudah dilepaskan pada 19 Mac lalu manakala tiga lagi dituduh di mahkamah hari ini.

"Lagi tujuh individu sudah dilepaskan dengan jaminan polis setelah didapati tidak terlibat dalam kes pencemaran berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Khalil menolak dakwaan segelintir netizen yang mengatakan polis hanya 'bermain wayang' berhubung kes itu sekali gus meminta mereka tidak mengguris hati pasukan tersebut.

Tegasnya, polis tidak menahan orang sesuka hati tetapi penahanan dibuat dengan fakta selain mendapat jaminan pertuduhan.

"Kita buat kerja seikhlas hati, sebaik mungkin. Kita tidak tangkap orang sesukati hati, mesti ada fakta dan apabila kita tangkap dengan fakta, kita juga mesti ada dapat jaminan pertuduhan, baru kita tuduh di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah bertungkus lumus untuk menyelesaikan kes itu demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat. - UTUSAN ONLINE