Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sin berkata, arahan berpindah juga akan dikeluarkan jika terbukti kilang itu bertanggungjawab ke atas pencemaran tersebut.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu hanya akan dibuat selepas semua agensi teknikal yang ketika ini sudah turun padang, selesai menjalankan siasatan ke atas sisa buangan plumbum di sekitar kawasan kilang dan juga ladang kelapa sawit berdekatan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang adil kepada semua, pihak kami (kerajaan negeri) tidak hanya bertindak berpandukan kepada sesuatu pihak atau sumber sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini penduduk kampung di Jenjarom mendakwa kesihatan mereka terancam selepas kilang yang mula beropeasi pada 2014 itu didakwa menjadi punca kepada pencemaran plumbum hasil aktiviti penghasilan bateri asid.

Kilang itu hanya terletak kira-kira 300 meter dari sekolah serta tadika dan hasil ujian makmal oleh bekas pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Maketab Mohamed mengesahkan ada tanda keracunan plumbum dalam kalangan penduduk dan pekerja kilang itu.

Isu itu kemudiannya mendapat perhatian Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang membidas Pakatan Harapan (PH) yang selama ini ghairah mencerca Barisan Nasional (BN) dalam isu alam sekitar tetapi memandang sepi bila pencemaran tersebut berlaku selepas PH membenarkan kilang berkenaan beroperasi. - UTUSAN ONLINE