Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, melalui cara tersebut ia diyakini mempunyai jalan penyelesaian daripada Allah.

“Oleh itu saya memberi ingatan pada diri saya yang daif ini dan sahabat-sahabat supaya apabila kita berbuat sesuatu biarlah menepati syariat Islam yang sebenarnya.

“Seperkara lagi saya juga mengharapkan kita sama-sama bersatu hati mencari Mohammad Asyraf yang saya yakin akan ada satu titik pengakhiran iaitu dengan penemuan. Kita doakan dia dalam keadaan selamat dan mudah-mudahan ia akan berakhir secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa selama kira-kira setengah jam di pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang di sini hari ini.

Pada lawatan tersebut, Zulkifli turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Yunus Abu dan Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM negeri, Sabarodzi Nor Ahmad.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, ketika berada dalam situasi pencarian ini, sebagai orang Islam, ada baiknya untuk bersabar menunggu selain memohon kepada Allah.

“Bila kamu minta, minta tolonglah dengan Allah. Kita yakin dan percaya Allahlah segala-galanya. Kita berdoa pada Allah supaya Allah mengembalikan (Mohammad Asyraf) kalau pada alam yang lain tetapi kalau kalau berada pada alam kita, dijumpai semula, InsyaAllah,” katanya. - UTUSAN ONLINE