Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang itu pernah membuat permohonan kewarganegaraan pada 2013 namun tidak diluluskan sebelum dia yang dibantu oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencuba sekali lagi pada tahun lalu.

ZURAIDA KAMARUDDIN bersama Roisah Abdullah menunjukkan Sijil Kelulusan
ZURAIDA KAMARUDDIN bersama Roisah Abdullah menunjukkan Sijil Kelulusan Kewarganegaraan di Putrajaya, semalam. – BERNAMA 

Roisah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan ke­rana meluluskan permohonannya pada 12 Mac lalu sekali gus memudahkan segala urusan hariannya termasuk untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam.

“Selama ini, saya tidak boleh membuat akaun bank, memohon lesen kenderaan malah terpaksa menge­luarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Selepas mendapat status kewarganegaraan, hidup saya pasti berubah. Perkara pertama selepas ini, saya mahu membuat kad Transit Aliran Ringan (LRT) bagi memudahkan pergerakan berulang-alik ke Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak),” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Roisah tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi meski pun memperoleh 3A dan 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mencatat 7A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta semua A dalam Penilaian Mene­ngah Rendah (PMR).

Ibu Roisah merupakan warga Fi­lipina manakala identiti bapanya tidak diketahui dan dia dibesarkan oleh seorang ibu angkat warga tempatan.

Roisah kini pelajar semester ketiga jurusan perakaunan di Unirazak dan merupakan anak angkat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau berharap status kerakyatan yang diperoleh Roisah dapat memberi kelebihan kepadanya untuk memasuki universiti awam selepas ini.