Lebih mengejutkan, mangsa Mohd. Roslan Wan Salleh, 31, didapati menunggang basikal seorang diri dari Kota Bharu sejauh kira-kira 500 kilometer sebelum tiba di Rompin.

Difahamkan, dia hilang tanpa khabar berita sejak 22 Januari lalu semasa ingin mengambil kad pengenalannya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu namun tidak menemui jalan pulang.

Ibunya, Rohmah Sulaiman, 58, berkata, dalam usaha mencari jalan pulang ke rumah, Mohd. Roslan mungkin menunggang basikal melalui jalan pantai sehingga tiba di Rompin, Pahang.

“Ketika berada di sana anak saya terlibat kemalangan jalan raya dengan sebuah motosikal. Dia cedera di beberapa bahagian badan dan dirujuk ke Hospital Rompin.

“Akibat kemalangan itu dia berada dalam keadaan koma selama empat hari dan setelah sedar dia menerima rawatan di hospital itu kira-kira sebulan sebelum dibenarkan keluar minggu lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Cawangan Kelantan di sini semalam.

Presiden PITKM, Datuk Melati Ali yang merasmikan majlis tersebut turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa selepas mengetahui nasib menimpanya.

Bercerita lanjut, Rohmah berkata, kakitangan hospital mungkin mengetahui Wan Mohd. Roslan tidak mempunyai saudara mara lalu mereka bertindak melaporkannya ke Balai Polis Rompin.

“Polis merujuk kes tersebut ke bahagian kes orang hilang dan mengesannya melalui laporan polis yang dibuat di Kota Bharu sebelum saya dimaklumkan pada Selasa minggu lalu.

“Saya hairan, berapa lama dia mengayuh basikal dalam perjalanan hampir 500 kilometer sehingga ke Rompin, kalau tidak kerana kemalangan, tidak tahu sampai ke mana dia pergi,” ujar ibu tunggal itu.

Katanya, perjalanannya juga satu misteri dan tiada siapa dapat mengetahuinya kerana dia tidak mampu menceritakannya berikutan keadaan mangsa yang bisu dan lembam.

“Jika dia bertemu orang ramai pun sukar untuk meminta bantuan kerana keadaan itu. Sekarang saya tidak akan membiarkannya keluar rumah bersendirian dan membawa ke mana sahaja dia pergi kerana bimbang berulang kejadian sama,” katanya.