Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, DAP tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan mengekang pengaruh Pas kerana agenda parti itu adalah untuk menyekat kemaraan Islam di negara ini.

"(Memandangkan) PKR bukan parti Islam, lalu mereka berusaha menubuhkan Amanah. Bukan untuk mempertahankan atau memperjuangkan Islam tetapi alat DAP untuk hadang pengaruh Pas.

"Ini bukan saya kata. Pemimpin dalam PH sendiri kata tapi saya tak nak sebut siapa nama dia. Pemimpin ini akui sendiri bahawa Amanah ini parti alat semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 Pas Kawasan Ketereh, di sini semalam.

Menurut Abdul Hadi, sebelum PRU-14, baik UMNO mahupun Pakatan Harapan (PH) memujuk Pas menyertai mereka namun jemputan tersebut ditolak dengan tegas kerana parti itu sudah membuat ketetapan untuk bersendirian.

"Datuk Seri Najib (Tun Razak) ajak kita bersama dia tetapi saya kata tak boleh. UMNO ada masalah yang belum selesai. Tun Dr. Mahathir (Mohamad) pun ajak kita bersama dia, saya kata tak boleh kerana DAP ada sama dalam tu.

"Kita ada masalah dengan DAP, sebab itu kita keluar gabungan terdahulu. DAP menentang Islam, menghalang kita melaksanakan syariat Islam," katanya.

Beliau turut berkata, selepas PRU-14 iklim politik Malaysia berubah sehingga membawa kepada usaha penyatuan ummah oleh Pas dan UMNO, sekali gus menyaksikan bagaimana paniknya DAP sehingga mereka melemparkan pelbagai tuduhan serta tohmahan terhadap usaha itu. - UTUSAN ONLINE