Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, ciapan berkenaan memusykilkan kerana perajurit yang mempertahankan negara ketika itu ialah tentera dari negara-negara Komanwel manakala tentera tempatan pula kesemuanya berketurunan Melayu dari negeri-negeri Melayu bersekutu.

Menurut Razman, terdapat juga pihak lain iaitu Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) atau Bintang Tiga dari Pertubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menentang atas dasar kebencian berhubung kait dengan perang China-Jepun.

Namun katanya, MPAJA yang mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu selama 14 hari selepas kekalahan pihak Jepun, telah menimbulkan huru-hara, keganasan serta pembunuhan.

"Oleh itu, kami menggesa pemimpin berkenaan tampil menyatakan secara terang dan jujur tujuannya membuat ciapan berbaur rasis dan mungkin merangka satu gerakan berkaitan yang kami sebutkan.

"Sebarang tindakan untuk memperakui atau mengiktiraf perjuangan berkenaan sebagai mempertahankan negara, tidak dapat diterima sama sekali apatah lagi cuba memberi penghargaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Biarpun kenyataan itu tidak menamakan siapakah pemimpin DAP tersebut yang juga didakwa sebagai Ahli Parlimen dari Perak, namun ia dipercayai merujuk kepada Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming.

Pada 16 Ogos lalu, Kor Ming dalam ciapan Twitter miliknya menulis 'Mendiang datuk saya & Timb Menteri YB @hannahyeoh adalah bekas perajurit yg mempertahankan negara semasa perang dunia II. Bila Jepun menjajahi tanahair kita, mereka yg berkorban mempertahankan kedaulatan negara adalah wira & wirawati, sumbangan mereka wajib diberi penghargaan.'

Dalam pada itu, Razman berkata, gelaran perajurit, wira dan wirawati negara serta terma mempertahankan kedaulatan negara termasuk penghargaan yang diberi adalah hak eksklusif dan nilai yang tidak boleh disetarakan dengan MPAJA dan PKM.

Beliau berkata, MPAJA atau Bintang Tiga yang terdiri daripada ahli-ahli PKM ini telah meletuskan pertempuran perkauman khususnya antara orang Cina dengan Melayu sehingga merenggangkan hubungan.

"Adakah kini pemimpin DAP tersebut cuba mengapi-apikan sentimen perkauman dengan menjulang terbuka mendiang datuknya sebagai bekas perajurit yang mempertahankan negara?

"Adakah ini episod lanjutan provokasi awal memperlekehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai 'hanya tahu makan dan tidur sahaja' oleh taikun proPakatan Harapan, Koon Yew Yin sehingga martabat perajurit sebenar direndahkan dan mahu diletakkan mereka di ladang Felcra bagi menggantikan warga asing?" soalnya. - UTUSAN ONLINE