Bagi merealisasi hasrat tersebut, KPKT bakal mengaplikasi dua teknologi perintis iaitu memproses sekerap plastik kepada bahan bakar kejuruteraan diproses (PEF) selain ‘The Asher’ yang mengguna pakai teknologi pyrolisis plasma, dihasilkan oleh warga tempatan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, bagi teknologi PEF, pihaknya bakal menggunakan khidmat Resourceco Asia (M) Sdn Bhd (Resourceco) iaitu satu-satunya syarikat di negara ini yang menghasilkan PEF daripada sisa buangan plastik, kertas, cebisan kayu dan kain untuk kegunaan kilang simen tanpa sebarang lebihan baki.

“Saya lihat ini adalah satu mekanisme baik yang boleh digunakan untuk membersihkan semua kilang plastik haram yang telah disita dan ketika ini tiada tempat untuk dilupuskan serta ketiadaan syarikat untuk mengambil alih.

“Saya rasa ini satu pendekatan yang boleh digunakan dalam operasi terutamanya di negeri Selangor dan Kedah, jadi mungkin KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) akan mengeluarkan satu permit khas untuk Resourceco beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Resourceco di Kawasan Perindustrian IGB di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Pengarah Urusannya, Pavel Cech.

Menurut Zuraida, bagi teknologi ‘The Asher’ pula, ia merupakan satu mesin yang mudah diangkut dan hanya memerlukan kawasan sebesar satu lot parkir, justeru sesuai digunakan di kawasan komuniti serta industri yang memiliki kepadatan tinggi.

Sehubungan itu katanya, beliau telah meminta senarai kilang-kilang plastik haram yang telah disita untuk diberikan kepada KPKT dan JPSPN supaya koordinasi pembersihannya dapat diatur bersama Resourceco dan ‘The Asher’.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menyelesaikan pembersihan di kilang plastik dan tapak pelupusan sampah haram itu yang seolah-olah memberi gambaran tidak benar kononnya Malaysia sebagai negara pengimport sampah plastik.

Namun katanya, KPKT hanya memantau dasar pengimportan sisa plastik bagi Kod Tarif 3915 dengan garis panduan ketat melibatkan 64 kilang memproses sisa plastik di negara ini yang diberikan lesen import (AP). - UTUSAN ONLINE