Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, tema itu dianggap unik kerana ia membawa rahmat kepada sekalian alam termasuk manusia, haiwan dan alam sekitar.

Katanya, seramai 2,712 gra­duan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen itu yang akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM.

“Seramai 113 menerima doktor falsafah, sarjana (119 orang), diploma (101 orang) dan 2,379 penerima ijazah sarjana muda.

“Tunku Ampuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang juga Canselor USIM akan berangkat merasmikan istiadat pembukaan majlis konvokesyen tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, konvokesyen USIM kali ini turut mengiktiraf tiga tokoh yang memberi sumbangan besar kepada dunia akademik, pendidikan tinggi dan masyarakat.

Tambahnya, dua graduan cemerlang dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pi­ngat Jaya Cemerlang), dua pe­nerima Anugerah Canselor dan seorang penerima Pingat Emas Naib Canselor.

“Selain itu, satu anugerah baharu diperkenalkan kali pertama dalam konvokesyen kali ini iaitu Anugerah Khas Daya Cemerlang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, pesta konvokesyen yang diterajui Majlis Perwakilan Pelajar USIM akan berlangsung mulai 24 hingga 29 November ini di tapak pesta bersebelahan Dewan Tuanku Canselor.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pe­ngunjung seperti forum ilmiah, malam muzik kemanusiaan, karnival sukan, gerai jualan dan program larian, Nocturnal Run 3.0.

“Nocturnal Run 3.0 yang diadakan pada Sabtu ini dijangka turut disertai oleh Tengku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga Pro-Canselor USIM serta pengurusan universiti.

“Seramai 1,500 pelari dijangka mengambil bahagian pada malam tersebut di laluan sekitar kampus USIM sejauh lima kilometer,” katanya.