Muhammad Sanusi Mohd. Nor (Pas-Jeneri) berkata, rakyat negeri ini khususnya pesawah dan penoreh getah yang terus dihimpit dengan pendapatan yang semakin berkurangan, menuntut perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, apatah lagi selama setahun di bawah pemerintahan PH, sebahagian besar subsidi untuk golongan tersebut telah dipotong.

"Saya bimbang nanti Allah 'tanya', kita (pemimpin kerajaan) tiada jawapan kerana sibuk berebut jawatan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan sekiranya Syarikat Air Darul Aman (SADA) diambil alih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, hal demikian kerana mengikut perjanjian, sekiranya SADA gagal membayar semula pinjaman RM45 juta setahun, SPAN boleh mengambil alih syarikat tersebut.

Kata beliau, sebagai sebuah negeri yang pernah mempunyai jajahan sehingga ke Thailand serta memiliki sejarah tersendiri suatu masa dahulu, Kedah bakal kehilangan kedaulatannya.

"Suatu masa dahulu, tiga perkara telah menjadi syarat Kedah menyertai Malaysia iaitu kedaulatan (Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan) tanah, agama dan air.

"Jika air diambil alih Persekutuan, maka hilanglah kedaulatan Kedah," katanya. - UTUSAN ONLINE