IRMOHIZAM IBRAHIM

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, kecemburuan itu boleh dilihat menerusi dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang kononnya lawatan Perdana Menteri ke AS bukanlah rasmi.

Bukan itu sahaja, Irmohizam berkata, pembohongan pem­bangkang yang didorong kelangsu­ngan politik murahan dapat dilihat apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sebelum ini mendakwa Najib tidak berani ke AS dan berkemungkinan ditangkap.

Sedangkan kata Irmohizam, hakikat sebenarnya ketibaan Perdana Menteri disambut baik dan diiringi oleh Secret Service di Andrews Joint Air Force Base sehingga ke White House.

“Dengan ini jelas menunjukkan kerajaan AS amat menghargai kepemimpinan Najib dengan menjemput beliau ke White House, seterusnya mengadakan perbincangan bersama.

“Selain itu, ia juga menjadi pengiktirafan dan lambang keakraban hubungan Malaysia dengan negara luar termasuk AS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, apa yang paling penting pertemuan bersejarah itu seiring dengan sambutan 60 tahun kemerdekaan negara.

“Pertemuan ini benar-benar membuktikan bahawa keikhlasan Perdana Menteri ingin melonjakkan nama Malaysia ke 20 buah negara teratas dunia menjelang tahun 2050 bagi memenuhi aspirasi beliau terhadap generasi muda negara,” katanya.