Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki berusia 20-an itu menaiki teksi dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumahnya di Taman Sri Pulai, Sikamat di sini pada pukul 9 pagi.

Katanya, bagaimanapun lelaki itu tertidur semasa dalam perjalanan dan gagal dikejutkan oleh pemandu teksi apabila tiba di kawasan perumahan berkenaan.

“Selepas beberapa minit cuba mengejutkan lelaki itu, pemandu teksi mengambil keputusan membawanya ke Balai Polis Sikamat kerana dia tidak tahu alamat rumah lelaki berkenaan.

“Beberapa anggota polis turut gagal mengejutkannya, namun berjaya mengesan ibunya berusia 55 tahun melalui maklumat dari dokumen pengenalan diri milik lelaki itu.

“Ibu dan ahli keluarganya datang ke balai polis dan dengan bantuan mereka lelaki terbabit terjaga. Keluarganya memaklumkan dia mengalami masalah sukar untuk bangun daripada tidur,” katanya di sini hari ini.

Ujarnya, menyedari video dan gambar kejadian anaknya sukar dikejutkan daripada tidur oleh pemandu teksi itu tular di laman sosial, ibunya tampil membuat laporan polis pada pukul 3.51 petang ini.

“Wanita itu dimaklumkan tentang perkara tersebut oleh anak bongsunya pada pukul 6.30 petang semalam. Video dan gambar itu tular selepas dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook dan kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE