FIRDAUS MAT RADZI
FIRDAUS MAT RADZI

Rata-rata pemandu Grab yag ditemui di sekitar ibu negara berkata peraturan baharu itu juga tidak wajar dikuatkuasakan berikutan kenderaan yang digunakan bukan kenderaan awam sebaliknya kenderaan persendirian.

Firdaus Mat Radzi, 27, berkata, pemandu Grab tidak mendapat sebarang kelebihan berbanding teksi terhadap peraturan yang akan dikuatkuasakan oleh Kementerian Pengangkutan itu.

“Dari segi kos servis, tol dan petrol adalah lebih mahal berbanding teksi. Senang kata, kami tidak mempunyai kelebihan berbanding pemandu teksi.

“Pemeriksaan kesihatan dan saringan rekod jenayah masih boleh diterima demi keselamatan penumpang. Tetapi dalam masa sama penumpang juga perlu mendaftar untuk mengelakkan kejadian jenayah seperti pembunuhan seorang pemandu grab baru-baru ini berulang,” kata Firdaus.

IZZ KAMIL HALDA
IZZ KAMIL HALDA

Izz Kamil Halda, 25, berkata, cadangan kementerian ingin mewajibkan pemandu e-hailing untuk mempunyai lesen PSV adalah bersifat berat sebelah yang memberi kelebihan kepada agensi kerajaan yang terlibat, pemandu teksi dan sekolah memandu.

Kerajaan perlu mengkaji semula mekanisme ini supaya peraturan tersebut bersifat ‘menang-menang’ kepada semua pemain industri.

“Perbezaan pemandu Grab berbanding pemandu teksi ialah komisyen. Pihak Grab mengenakan komisyen 20 peratus dari tambang yang kami peroleh berbanding teksi yang hanya dikenakan 10 peratus.

“Sudahlah dikenakan syarat yang sama seperti teksi, tapi akhirnya tambang yang kami peroleh lebih sedikit berbanding teksi. Ini tindakan yang tidak saksama bagi saya,” kata Izz Kamil.

Beliau menambah, pemandu Grab juga akan di nilai berdasarkan maklum balas pelanggan. Sekiranya rating yang diberikan oleh pelanggan rendah dari 4.70 mereka tidak akan dibenarkan untuk memandu Grab.

“Sedangkan tiada sistem ‘rating’ dikenakan terhadap pemandu teksi. Ini bermakna jika pemandu teksi melakukan kesalahan dan memberikan layanan buruk dia tetap boleh memandu teksi seperti biasa,” keluh Izz Kamil.“Jadi sekiranya seorang pemandu telah membelanjakan wang untuk ambil lesen PSV dan kemudian dia dihalang dari memandu Grab kerana rating rendah maka ini akan memberi kerugian kepada pemandu Grab.

KAMAL SYAFIQ
KAMAL SYAFIQ

Sementara itu, Kamal Syafiq, 25, berkata, syarat lesen PSV tidak perlu kerana rata-rata pemandu Grab mempunyai lesen D yang lebih dari 2 tahun.

“Jadi mengapa pemandu perlu mengeluarkan belanja untuk ambil lesen lain PSV? Ini hanya akan menguntungkan sekolah memandu dan Jabatan Pengangkutan Jalan tetapi merugikan pemandu Grab,” kata Kamal.

Pada 11 Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan bermula esok melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017.

Antara syarat yang ditetapkan adalah semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).

Anthony berkata, semua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing diberikan tempoh moratorium selama setahun bagi melaksanakan semua peraturan yang ditetapkan. –UTUSAN ONLINE