Gesaan itu disuarakan oleh Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd. Hussain yang berharap pihak kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak berhubung perkara itu.

Tegasnya, sekiranya peraturan baharu itu tidak dipatuhi, secara jelas membuktikan bahawa mereka tidak menghormati keputusan kerajaan sebelum ini dan sengaja mencabul kedaulatan undang-undang negara.

“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu tegas dalam pelaksanaan peraturan e-hailing, namun jika beliau masih berkompromi dan memberi kelonggaran, itu jelas membuktikan bahawa beliau tidak mengamalkan prinsip menjunjung kedaulatan negara dan telah membuat satu lagi pusingan U.

“Kami harap pihak kementerian akan memastikan semua syarikat aplikasi menghormati keputusan kerajaan dan membantu menangani isu perkhidmatan itu dengan tidak membenarkan mana-mana pemandu kenderaan e-hailing yang masih tidak mempunyai dokumen lengkap atau masih dalam proses melengkapkan dokumen tidak boleh beroperasi dengan menggunakan aplikasi mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia, Chong Ming Huei memaklumkan kadar caj bagi perkhidmatan e-hailing dijangka akan berlaku kenaikan serta tempoh menunggu lebih lama berikutan penguatkuasaan peraturan baharu perkhidmatan itu oleh pihak kerajaan mulai hari ini.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran di ibu negara sekiranya tindakan tegas itu tidak diambil oleh pihak kementerian.

“Kami berharap kali ini, pihak kementerian khususnya Yang Berhormat Menteri tidak bersandiwara dan terus memperbodohkan kami.

“Namun, jika perkara itu berlaku, kami tidak akan teragak-agak untuk mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran di ibu negara untuk mendesak Kerajaan Pakatan Harapan membuktikan bahawa mereka sebuah kerajaan yang bersih dan mengamalkan prinsip ‘rule of law’,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE