Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, berkuat kuasa pada 16 Januari lalu, penilaian impak sosial tidak lagi menjadi sebahagian daripada EIA sebaliknya perlu dilakukan secara berasingan.

"EIA dan SIA melibatkan dua konsultan yang berbeza, EIA diletakkan di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) manakala SIA pula di bawah Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Noh turut melancarkan penjenamaan semula Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) kepada PLANMalaysia.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamad Sadique, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr. Dolbani Mijan.

Menurut Noh, kuasa untuk pihak LPBM menyelia SIA adalah berdasarkan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2017 yang telah mendapat kelulusan Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada tahun lalu dan diwartakan pada 16 Januari lalu.

"SIA ini lebih kepada masalah sosial rakyat, kadang-kadang kita lihat kajian tidak dibuat teliti dalam mengambil kira masalah sosial, itu yang timbul ada bantahan rakyat, ada demonstrasi kerana rakyat merasakan mereka tidak diberi pembelaan," katanya.

Jelas beliau, antara perkara yang diperincikan menerusi SIA adalah kesan projek-projek pembangunan daripada aspek kesejahteraan masyarakat, pendapatan rakyat serta bentuk ganti rugi bersesuaian.

Sementara itu, Noh memberitahu, penjenamaan semula PLANMalaysia yang mempunyai slogan ‘Perancangan Melangkaui Kelaziman’ itu mendapat kelulusan Kabinet pada 25 Januari lalu.

"Penjenamaan semula ini kerana kita tahu hampir 70 peratus (kawasan penduduk) di Malaysia sekarang ini dalam kategori bandar, jadi bila hendak rancang tidak boleh lagi asing bandar dan desa, mereka kena rancang secara keseluruhan Malaysia," katanya.

Dalam perkara berasingan, Noh meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan rumah-rumah pangsa kos rendah memiliki 'stretcher lift' untuk kemudahan pergerakan penduduk yang sakit serta pemindahan jenazah.

"Bagi semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu, saya telah mengarahkan untuk semua mesti ada ‘stretcher lift’, saya mendapat laporan ada orang yang sakit dan jenazah kena berdiri dalam lif kerana rumah pangsa mereka tiada disediakan ‘stretcher lift’, kita tidak boleh pandang remeh masalah ini," katanya. - UTUSAN ONLINE