Timbalan Presiden AIC, Arief Imran berkata, orang ramai boleh bertanyakan sebarang soalan tanpa sebarang batasan selain mengamalkan konsep kebebasan bersuara dalam memastikan segala persoalan mereka terjawab.

Katanya, acara yang diadakan pada 16 September itu dijangka dihadiri lebih 1,000 orang tanpa mengira latar belakang dan profesionalisme.

“Orang ramai boleh mengutarakan sebarang persoalan kepada beliau dan saya yakin mampu dijawabnya memandangkan kita mengamalkan konsep kebebasan bersuara pada program berkenaan.

“Kita harap golongan belia boleh hadir pada program tersebut bagi mendengar sendiri dalam sesi dialog berkenaan dan kemungkinan isu-isu yang berbangkit termasuklah kos sara hidup, minyak dan menangani kemiskinan golongan B40,” ujarnya kepada Utusan Online dalam kunjungannya ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Berhad) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha AIC, Azmi Mohd Nor.

Menurut Arief, program yang memasuki kali ke-14 sejak 2010 itu tidak mengenakan sebarang bayaran dan orang ramai hanya perlu mendaftar kehadiran mereka menerusi borang dalam talian.

“Orang ramai yang ingin hadir hanya perlu mengesahkan kehadiran mereka di bit.ly/meetanwarkl, bagaimanapun kita turut menerima mereka yang hadir secara ‘walk-in’.

“Pada hari demikian kita turut mengadakan pelancaran buku Dr. Syed Husin Ali yang bertajuk “A People’s History of Malaysia” dan kehadiran artis undangan Zahirah MacWilson bagi memeriahkan lagi program berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Azmi memberitahu, AIC turut bercadang mengadakan pertemuan bersama golongan belia dalam sesi jelajah program itu di beberapa negeri lain tidak lama lagi.

“Kita kemungkinan akan mengadakan program seperti ini di negeri pantai timur termasuk Sabah dan Sarawak, Malah jika ada kesempatan kita turut bercadang mengakan sesi dialog tersebut di luar negara,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE