Pengarah Eksekutif UKSB, Arffin Nordin berkata, pihaknya menyediakan dua laman web iaitu www.bukupss.com untuk guru pusat sumber sekolah (PSS) membuat pesanan buku sebagai bahan rujukan dan kegunaan murid serta pelajar.

Katanya yang juga Ketua Pe­ngarang Majalah UKSB, laman web kedua, www.kedaiguru.com diwujudkan khusus untuk guru-guru membuat pesanan buku bacaan bagi kegunaan peribadi.

“Inisiatif ini secara tidak langsung membolehkan pihak sekolah dan guru PSS mendapatkan sebut harga buku-buku yang ingin dibeli untuk kegunaan pusat sumber secara digital.

“Guru-guru dan pihak sekolah tidak perlu bimbang kerana Kementerian Pendidikan telah membenarkan penggunaan buku terbitan UKSB di semua pusat sumber sekolah seluruh negara,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Taklimat dan Pelancaran Pesanan Online Buku PSS sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan; Pengurus Kanan Operasi UKSB, Azlan Abdul Aziz dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Kebangsaan, Mas'od Idris.

Pada majlis tersebut, UKSB diwakili Arffin dan Majlis Guru Besar (MGB) Kebangsaan diwakili Mas'od menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan mengeratkan hubungan serta kerjasama dalam merangka pelan jangka panjang.

Pada 25 Oktober lalu, Bahagian Pengurusan Sekolah Ha­rian Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat kelulusan yang menyokong dan membenarkan penggunaan buku-buku UKSB iaitu anak syarikat Kumpulan Utusan di pusat sumber semua jenis sekolah seluruh negara.